Naib Canselor UPM

Saya sangat berbesar hati mengucapkan selamat datang kepada warga alumni UPM, bakal alumni dan semua pihak ke laman sesawang Pusat Alumni Universiti Putra Malaysia. Kepada bakal alumni, kampus hijau ini merupakan rumah anda, kehidupan baru anda sebagai mahasiswa dan mahasiswi UPM. Sebagai alumni UPM, saya juga berbesar hati untuk berkongsi perasaan dan pengalaman yang bakal menanti anda semua apabila melangkah kaki ke universiti penyelidikan yang berkembang pesat ini.

Saya percaya peri pentingnya penglibatan alumni dalam memastikan UPM terus relevan di persada antarabangsa. Justeru, apabila berpeluang bertemu alumni terbilang UPM, kami menyedari akan peluang dan cabaran untuk kami bergerak ke hadapan dalam membawa perubahan kepada penyampaian pendidikan universiti pada masa ini dan akan datang. Saya yakin dengan sokongan padu daripada warga alumni yang prihatin, kita berupaya untuk mengemudi UPM ke arah legasi kegemilangan. Satu perkara yang benar-benar menyemarakkan perasaan saya apabila menjadi alumni UPM adalah peluang untuk membina sesuatu yang bermanfaat dan menyumbang kembali kepada Alma mater, memberi sepenuh jiwa dan melaksanakannya tulus dari hati.

Alumni UPM perlu sentiasa mempunyai semangat kekitaan dan kebanggaan kepada Alma mater. Saya mengajak seluruh warga kampus, komuniti Serdang dan warga alumni UPM (Universiti Putra Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia dan Kolej Pertanian Malaya) hadir menjayakan Sambutan Hari Alumni UPM 21 Mei pada setiap tahun untuk kita mengimbau kembali sejarah penubuhan dan rentetan perjalanan UPM. Kami juga berharap para pelajar UPM (bakal alumni) turut hadir memeriahkan sambutan ini bagi membudayakan semangat Berilmu Berbakti. Jadilah kehadiran anda merupakan sebahagian daripada kejayaan program ini dan kewujudan anda dirasai oleh rakan alumni yang lain.

Saya percaya para pelajar UPM (bakal alumni) tidak sabar untuk bergraduat dan meninggalkan kampus, dan kami yakin alumni UPM tidak akan hilang jejaknya dengan UPM. Sentiasalah berhubungan dengan rakan alumni anda, berkongsi pengalaman hidup dan apabila sampai masa yang sesuai seiring dengan peningkatan kehidupan dan kerjaya anda, berkhidmatlah sebagai sukarelawan dalam Chapter Alumni UPM. Ganjarannya adalah sesuatu yang tidak ternilai, bukan sahaja berguna dalam perkembangan profesional anda tetapi ia secara peribadi merupakan satu cara untuk anda menyumbang bakti kepada Alma mater ini.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada warga alumni UPM dan sentiasalah berhubungan dengan UPM di mana jua anda berada.


"BERILMU BERBAKTI"


YBHG. DATO' PROF DR. MOHD ROSLAN SULAIMAN
Naib Canselor UPM
(Alumni Kelas 1994)