SOLIDARITI UPM UNTUKMU PALESTIN: SERAHAN KUTIPAN TABUNG UPM X MYFUNDACTION | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » SOLIDARITI UPM UNTUKMU PALESTIN: SERAHAN KUTIPAN TABUNG UPM X MYFUNDACTION

SOLIDARITI UPM UNTUKMU PALESTIN: SERAHAN KUTIPAN TABUNG UPM X MYFUNDACTION

Oleh: Suziana Che Wil 

 

SERDANG, 7 DIS 2023 – Bertempat di Dewan Taklimat Serdang UPM telah berlangsung penyerahan kutipan Tabung UPM X MyFundAction bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel ke atas Palestin yang masih berterusan.

Tabung UPM X MyFundAction ini diwujudkan selaras dengan pelaksanaan Program Solidariti UPM Untukmu Palestin pada 10 November 2023 yang lepas di Dewan Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) UPM. Hampir 500 pelajar dan warga UPM berkumpul bagi menzahirkan solidariti ke atas rakyat Palestin yang terusan menerima kekejaman daripada Israel.

Penyerahan tabung kutipan yang berjumlah RM 32,202.14 telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Ybhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah kepada wakil MyFundAction, Ybrs. Cik Athirah Mohd Affandi. Secara keseluruhan tabung ini diurus kendalikan oleh MyFundAction untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan dan sokongan buat masa sekarang.

Turut hadir pada majlis ini, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA) Ybhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Ybhg. Prof. Madya Dr. Omrah Hassan@Hussin dan juga Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) Encik Fahmi Azar Mistar.

Kerjasama ini bukanlah kali pertama berlangsung di antara ARCUPM dan MyFundAction. Sebelum ini ARCUPM dan MyFundAction pernah berkolaborasi dalam Program UPM Prihatin Kit 3K yang berupa barangan keperlua semasa negara dilanda pandemic Covid-19. Kerjasama diteruskan pada dengan Program Alumni Putra@Jannah iaitu agihan sebanyak 3000 pasang pakaian baharu untuk golongan yang memerlukan dalam meringankan beban untuk sambutan Aidilfitri yang lepas. Kerjasama diteruskan dengan agihan 3000 pek makanan Ready To Eat (RTE) kepada pelajar baharu UPM sesi 2023/2024.

Sehingga kini, jumlah sumbangan menerusi ke semua jalinan kerjasama yang telah terjalin sudah mencecah jumlah RM 1,391,445.14. Satu angka yang cukup besar.

Sebagai tanda sokongan yang berterusan terhadap rakyat Palestin juga, Kelab MyAqsa UPM turut ditubuhkan. Kelab yang dihasratkan oleh TNCHEPA iti sendiri dilihat bakal menjadi satu platform terbaik dalam menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin. Diharapkan dengan pewujudan kelab ini pelbagai aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti dapat diteruskan pada masa akan datang.

ARCUPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas jalinan kerjasama ini, dalam usaha bersama-sama membantu pelajar, komuniti dan masyarakat dunia yang memerlukan. Semoga jalinan kerjasama seterusnya iaitu dalam Program Kesukarelawan Antarabangsa 2024 di antara MyFundAction bersama UPM ke Kem Pelarian Syria berjalan lancar. Diharapkan ianya bakal menjadi titik mula kepada kerjasama di peringkat antarabangsa untuk seterusnya.


Tarikh Input: 08/12/2023 | Kemaskini: 24/12/2023 | shahirahalia

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEbTAQ~