CAKNA ISU SEJAGAT ARCUPM ANJUR PROGRAM SOLIDARITI UPM UNTUKMU PALESTIN | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » CAKNA ISU SEJAGAT ARCUPM ANJUR PROGRAM SOLIDARITI UPM UNTUKMU PALESTIN

CAKNA ISU SEJAGAT ARCUPM ANJUR PROGRAM SOLIDARITI UPM UNTUKMU PALESTIN

Oleh: Suziana Che Wil 

 

SERDANG – Cakna dengan isu sejagat, Universiti Putra Malaysia menerusi Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) dengan kerjasama Chapter Alumni YOSH UPM, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023 dan Chapter Student Ambassador (CSA) Sesi 2023/2024 serta rakan strategik dari Persatuan Alumni UPM, Majlis Perwakilan Kolej, Majlis Perwakilan Fakulti dan MyFundAction telah menganjurkan Program Solidariti UPM Untukmu Palestin.

Program yang telah berlangsung di Dewan Putra 1, Kolej Tan Sri Aishah Ghani UPM, pada malam 10 November 2023 yang lepas telah mendapat sokongan daripada seluruh warga UP yang terdiri daripada staff, pelajar dan alumni UPM yang berkumpul dan berhimpun secara aman untuk melahirkan rasa ihsan dan empati ke atas rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di tanah air mereka sendiri.

Hampir 400 orang pelajar, alumni dan warga UPM bersatu menzahirkan rasa solidariti ini. Pelajar yang berbilang bangsa dan agama turut hadir, kerana mereka menyedari ini bukanlah isu agama semata-mata tetapi ia berkaitan dengan isu kemanusiaan sejagat yang harus diberi penekanan kerana semua Masyarakat dunia berhak hidup dengan aman damai di tanah air tercinta.

Program ini juga sebagai satu langkah awal untuk menyahut dan menyokong serta menyebarkan mesej mengenai kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat. Selain itu, program ini juga sebagai langkah untuk memupuk semangat prihatin dikalangan pelajar dan menerapkan nilai-nilai murni dan rasa menzahirkan kesyukuran dengan nikmat keamanan dan kedamaian yang dikecapi hari ini.

Turut hadir memberi sokongan pada program tersebut Ybhg. Timbalan Nailb Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni UPM Prof. Dr. Arifin Abdu, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Ybrs. Encik Sabrie Mohamad Salleh, ketua Pengarah Operasi MyFundAction, Puas Siti Aishah Shahid, Timbalan Pengarah ARCUPM, Ybrs. Encik Fahmi Azar Mistar dan Pengasas Cinta Gaza Malaysia, Ybrs. Encik Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Para pelajar turut bertuah apabila secara berdepan dan bersemuka dapat mendengar perkongsian daripada Pengasas Cinta Gaza Malaysia, Encik Nadir Al-Nuri mengenai kegetiran dan kegawatan yang sedang berlaku di Palestin terutamannya di kawasan yang teruk terjejas iaitu Gaza.

“Mungkin kita di sini masih cukup segala-galanya, tetapi tidak bagi saudara kita di Gaza. Apabila harta benda awam terutamanya hospital dibom, kekurangan air bersih, elektrik dan internet disekat, namun mereka masih masih bertahan kerana mereka yakin Allah SWT bersama-sama mereka.”

“Saya sendiri lapan hari tidak dapat menghubungi anak dan isteri yang berada di Gaza. Namun saya yakin mereka masih selamat kerana hati saya masih tenang, dan alhamdulillah akhirnya saya dapat berhubung dengan mereka dan mereka masih selamat selepas menempuhi perjalanan yang mencabar untuk menyelamat diri ke Selatan Gaza,”

“Gaza semakin genting, keadaan jauh lebih teruk dari awalnya. Namun jika kita bertanya kepada seorang ataupun sesiapa juga yang berada di Gaza, mereka meluahkan rasa Syukur kerana mereka pasti akan syahid pada bila-bila masa sahaja dan saya menyeru beramai-ramai kita terus menyokong agenda untuk menyelamatkan Palestin dengan menghulurkan apa sahaja bentuk bantuan sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada mereka,” ujarnya.

Pada program ini juga telah dilancarkan Tabung UPM Untukmu Palestin yang mana tabung ini diurus sepenuhnya oleh Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (MyFundAction) yang mana pertubuhan bukan Kerajaan ini (NGO) telah secara rasminya bergabung di bawah Kumpulan MyAqsaDefenders untuk menjayakan misi tabung kemanusiaan Palestin ini.

Lebih menarik lagi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu turut menyokong dengan myaqsadefenders di kalangan warga UPM. 

Mesej yang jelas ingin disampaikan menerusi program ini adalah semoga usaha kecil dan suara 'kecil' kita ini menjadi asbab untuk Palestin bebas daripada kekejaman dan penindasan, semoga usaha kecil ini juga turut memberi tekanan dan menyatakan kepada masyarakat dunia bahawa Palestin tidak bersendirian.

Tarikh Input: 16/11/2023 | Kemaskini: 21/11/2023 | shahirahalia

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXFDDAM~