Bengkel Siri 4 Projek Megachilli 2021, Pengurusan Tanaman Cili Fertigasi Mengambil Tempat | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Bengkel Siri 4 Projek Megachilli 2021, Pengurusan Tanaman Cili Fertigasi Mengambil Tempat

Bengkel Siri 4 Projek Megachilli 2021, Pengurusan Tanaman Cili Fertigasi Mengambil Tempat

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan oleh : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG – Bengkel Siri ke-4, Projek Megachili 2021 bersiaran secara dalam talian pada 10 Julai 2021 lalu. Kali ini alumni mentor yang terlibat memberikan perkongsian adalah Pegawai Pertanian Daerah Klang, Jabatan Negeri Selangor, Encik Ahmad Nazri Abdullah Zawawi yang merupakan alumni UPM Kelas 2000 dan 2015. 

Ini merupakan kali kedua dijemput sebagai alumni mentor. Sebelum ini beliau terlibat dengan Projek Penanaman Rock Melon juga anjuran Pusat Perhubungan Alumni Pusat Perhubungan Alumni dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM dengan kerjasama Fakulti Pertanian, Majlis Perwakilan Pelajar dan Malaysian Agro Entrepreneurial Club for University Students (MyAgrosis) dan TPU yang menyediakan khidmat guna tanah seluas dua hektar. Kejayaannya telah terbukti pada Mac 2021 yang lalu apabila telah berjaya menuai hasil sebanyak tiga tan.

Secara tidak langsung kejayaan penanaman Rock Melon ini boleh dijadikan penanda aras untuk penanaman Megachilli 2021 pula. Sekali lagi, Ahmad Azri selaku mentor alumni berkongsi pengalamannya agar usaha kali ini juga membuahkan kejayaan dan seterusnya menjadi portfolio untuk graduan pertanian lulusan UPM. 

Bengkel yang dijalankan menerusi dalam talian Zoom memperlihatkan kesungguhan para peserta apabila hampir keseluruhan wakil kolej kediaman termasuk kampus Sri Rajang, Bintulu, turut hadir dalam talian untuk mendengar perkongsian.

“Tanaman fertigasi adalah alternatif kepada tanaman secara konvensional dan paling penting tanaman jenis ini sangat sesuai untuk jenis penanaman sayur-sayuran jenis berbuah seperti cili, tomato, bendi dan timun. Jadi dalam menjalankan Projek Megachilli 2021 dengan menggunakan kaedah fertigasi adalah sangat sesuai,” ulas beliau. 

Pada bengkel yang berjalan selama satu jam itu, Ahmad Nazri menekankan kepada teknik dan tip untuk memilih tapak projek dan juga tanggungjawab dalam penanaman. Aspek yang perlu dikenalpasti ialah dari segi pencahayaan matahari, kawasan tanah sama ada mudah diratakan ataupun sebaliknya, perlu elakkan tapak projek yang menjadi laluan angin kencang, perlu ada sumber air yang mencukupi dan juga perlu adanya infrastruktur yang baik. 

Dalam bengkel itu juga, panel menekankan kepada peserta supaya menggunakan ilmu yang diberikan oleh alumni mentor dengan semaksima mungkin. Jelasnya lagi, bagi peserta yang sebelum ini pernah menyertai projek Rock Melon boleh juga mempraktikkan ilmu dan pengalaman sebelum ini ke dalam projek ini pula. 

“Saya juga mengharapkan adanya perkongsian ilmu daripada para peserta yang memang dari bidang pertanian kepada peserta yang tiada asas pertanian. Kerja penanaman mega begini adalah kerja berkumpulan dan jika komunikasi jelas antara ahli kumpulan, itu juga penentu kejayaan sesebuah projek.” Jelasnya lagi. 

Pada akhir bengkel, Ahmad Nazri mengingatkan peserta bahawa gunakan asas-asas pertanian yang mereka tahu dan perlu sentiasa terapkan minda yang positif. Menurutnya apa sahaja yang dilakukan kebergantungan kepada teknologi hanyalah 30 peratus sahaja manakala 70 peratus lagi adalah ilmu dan tenaga manusia itu sendiri. 

“Gunakan peluang yang diberikan oleh universiti untuk anda mempraktikkan ilmu dengan bimbingan daripada mentor-mentor yang mahir dalam bidang pertanian. Pembelajaran secara lapangan di universiti ini adalah saluran terbaik sebelum anda benar-benar berkecimpung dalam kerjaya ini di luar nanti,” akhirinya. 

Bengkel Siri ke-5 akan bersiaran seperti biasa dengan tajuk bengkel yang pasti lebih menarik. Para peserta perlu terus fokus mengikuti setiap bengkel yang diwacanakan khas untuk mereka dalam menjayakan Projek Megachilli 2021. 

Tarikh Input: 19/07/2021 | Kemaskini: 30/09/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXFDGA2~