| Pusat Perhubungan Alumni

15 Mei 2018: Memanfaatkan Keperkasaan Alumni sebagai Kekuatan UPM

    

 

SERDANG, 15 Mei – Pusat Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan forum Serdang Heritage sempena Sambutan Hari Alumni UPM 21 Mei bertempat di Auditorium Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan UPM bagi memperingati sejarah penubuhan serta kejayaan universiti penyelidikan itu dalam melahirkan graduan pelbagai bidang dan kepakaran.

Pengarah Pusat Alumni UPM, Prof. Dr. Hazandy Abdul Hamid berkata forum Serdang Heritage bertemakan “Memanfaatkan Keperkasaan Alumni sebagai Kekuatan UPM” diadakan simbolik tarikh 21 Mei 1931 sempena tertubuhnya Sekolah Pertanian Malaya di Serdang. “Program ini merupakan salah satu aktiviti diiktiraf sebagai Sambutan Hari Alumni UPM pada 21 Mei yang diraikan setiap tahun oleh para alumni, warga kampus dan pelajar UPM untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran kepada bakal alumni UPM,” katanya. Beliau berkata, pelbagai program dirangka dalam menjayakan Sambutan Hari Alumni UPM itu bertujuan untuk membawa alumni kembali ke UPM dan seterusnya melestarikan legasi kegemilangan bertepatan dengan misi UPM ‘Berilmu Berbakti’.

Acara lain yang telah diadakan ialah Tautan Mahabbah (Majlis Kesyukuran) pada 11 Mei 2018 dan kemuncak acara adalah Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang @Homecoming X yang akan diadakan pada 29 September 2018. Sementara itu, forum Serdang Heritage yang dihadiri oleh 126 orang tetamu jemputan termasuk alumni dan pelajar UPM telah mengupas perjalanan alumni UPM mengenai penerimaan dan penjanaan ilmu semasa peringkat universiti yang dibarisi ikon alumni terbilang iaitu Tuan Haji Ghazali Salamt, Setiausaha Agung Persatuan Alumni UPM (PAUPM) (Alumni Kelas 1970); Ir. Kumar Subramaniam, Pengarah, SGTR Konsult Sdn. Bhd. (Alumni Kelas 1993); Cik Koh May Ling, Senior Analyst, Maybank Group (Alumni Kelas 2010) dan Encik Mohd Nazri Noh, Ketua Pentadbiran Pejabat TNC HEPA, UPM (Alumni Kelas 1996).

Garapan dan kupasan penceritaan yang baik di forum tersebut oleh tiga ahli panel telah menyerikan lagi tema forum yang menyentuh konteks keperkasaan dan peranan alumni serta memperlengkapkan diri dengan ilmu yang strategik dengan tuntutan semasa serta bagaimana ia mampu memberi sumbangan kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara.

 

SXDdVAC~