| Pusat Perhubungan Alumni

SUMBANGAN ALUMNI DEMI KELANGSUNGAN PELAJAR, MEMBAWA MAKNA YANG AMAT MENDALAM

Ringkasan Artikel

Sedekah mempunyai kuasa magnet rezeki yang telah disahihkan dalam sabda Rasulullah SAW. Jangan takut untuk bersedekah, menderma dan membantu mereka yang memerlukan bantuan dengan andaian harta mahupun rezeki kita akan menjadi sedikit dan sebagainya.

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

 

Dari Abu Hurairah RA, Sesunguhnya Rasulullullah SAW bersabda, “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya,”

 

Sedekah mempunyai kuasa magnet rezeki yang telah disahihkan dalam sabda Rasulullah SAW. Jangan takut untuk bersedekah, menderma dan membantu mereka yang memerlukan bantuan dengan andaian harta mahupun rezeki kita akan menjadi sedikit dan sebagainya. Sebaliknya, kuasa magnet daripada sedekah dan sikap prihatin dengan nasib mereka yang memerlukan adalah formula terbaik untuk menjemput rezeki yang banyak dan luas.

Pusat Perhubungan Alumni, Persatuan Alumni dan juga Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia sentiasa mencari peluang dan membuka peluang keada para alumni, individu mahupun badan-badan korporat untuk sama-sama berkongsi rezeki bersama para pelajar UPM yang memerlukan bantuan.

Sebenarnya nilai yang mungkin kecil pada mata kita, tetapi besar maknanya pada para pelajar yang memerlukan. Terbaharu ARCUPM telah berjaya membuka ruang kepada Binaree Cafe yang menjalan operasi perniagaan di tapak Akademi Sukan UPM, untuk menaja 10 pelajar UPM makanan percuma sepanjang sesi pengajian sesi 2022/2023.

Mungkin nampak ringkas tetapi bagi 10 orang pelajar ini, mereka menyambut sumbangan ini dengan hati yang berbungga dan penuh dengan kelegaan. Ini kerana ada kalangan mereka yang perlu menyatu wang perbelanjaan, perlu menyatu wang poket dan ada yang perlu ‘skip’ makan demi kelangsungan pembelajaran mereka. Dengan program free meal@Binaree Cafe, sekurang-kurangnya 10 pelajar ini sudah ada makanan untuk mereka dalam sehari di kampus.

Bukan setakat itu sahaja, sepanjang 2022 yang lalu, pelbagai bantuan telah disumbangkan oleh alumni UPM terutamanya dari segi keperluan peranti. Encik James Ho, dari Yayasan Kebajikan Suria misalnya, telah menyumbang 16 buah peranti untuk diagihkan kepada para pelajar UPM yang memerlukan untuk tujuan pembelajaran.

Ramai pelajar yang mendapat manfaat daripda sumbangan ini. Dalam keadaan pasca pandemik, perubaha rutin pengajian, jika dahulu sepenuhnya adalah secara fizikal, namun kini ada yang beralih kepada online dan sebagainya. Meski pun kini sudah beralih kepada bentuk fizikal semula, namun keperluan peranti ini sudah menjadi satu keperluan khas untuk memudahkan proses pembelajaran. Menerusi sumbangan peranti ini, pelajar-pelajar daripada golongan asnaf dan B40 dapat dibantu dan sekaligus meringankan beban keluarga.

Kesinambungan sumbangan alumni ini terus disemarakkan. Dengan slogan ‘daripada alumni kepada UPM’ pembinaan Menara Jam Warisan Budi dapat direalisasikan. Dengan kos pembinaan RM1.4 juta, Menara Jam Warisan Budi bakal berdiri megah di hadapan Dewan UPM. Menara yang bakal menjadi ‘one stop center’ untuk para pelajar berkumpul dan menjadi tempat ikonik mengabadikan kenangan di UPM kelak.

Jika diimbas kembali kejayaan 2022, untuk menghadapi 2023 terasa kekuatan semangat dan fizikal perlu dilipat gandakan lagi. Ramai lagi pelajar yang perlu dibantu. Banyak lagi perjuangan yang belum selesai.

Ayuh alumni, pelajar dan seluruh warga UPM lakukannya sekali lagi seiring dengan kejayaan UPM dalam QS World University Rankings, berada pada tangga ke 123 di dunia dan kedua terbaik di Malaysia.  

 

 

 

SXDdTAx~